KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) bagi suku kewangan pertama berakhir 30 April 2023 meningkat 58 peratus kepada RM146.09 juta daripada RM91.93 juta pada suku yang sama bagi tahun kewangan sebelumnya.

Sapura Energy dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin berkata keuntungan lebih tinggi itu berikutan susut nilai yang lebih rendah, bahagian keuntungan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan keuntungan daripada pertukaran asing bersih daripada peningkatan dolar AS berbanding ringgit.

Kumpulan itu melaporkan peningkatan sebanyak 30 peratus dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada RM332 juta untuk suku dalam tinjauan berbanding RM250 juta EBITDA pada suku yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Anuar Taib berkata keputusan ekoran daripada daya tahan dan keazaman kumpulan untuk memulihkan syarikat walaupun status Nota Amalan 17 (PN17) dengan akses terhad kepada modal kerja dan jaminan bank.

"Strategi kami untuk menggunakan aset utama di luar Malaysia meningkatkan keupayaan kami untuk mendapatkan kerja dan menyiapkan projek untuk pelanggan antarabangsa. Strategi ini telah membolehkan kumpulan itu mengeksport kepakarannya dan membawa balik hasil yang diperoleh dalam dolar AS ke Malaysia," katanya.

Kumpulan itu berkata ia akan terus melaksanakan pelan "reset" sepanjang tahun kewangan 2024 untuk meningkatkan keuntungan dan aliran tunai, memastikan disiplin dan kecemerlangan dalam pembidaan dan pelaksanaan projek serta menangani hutangnya yang tidak mampan.

"Walaupun menghadapi cabaran dalam mengakses jaminan bank dan kemudahan modal kerja, kumpulan itu berjaya memperoleh RM1.4 bilion dalam kemenangan kontrak, meningkatkan nilai perolehan tertunggaknya kepada RM5.8 bilion.

"Selain itu, nilai perolehan bukan disatukan bagi entiti usaha sama kumpulan itu kini berjumlah RM4.8 bilion. Kontrak asing menyumbang 72 peratus daripada jumlah kemenangan baharu, menunjukkan trajektori pertumbuhan di luar Malaysia," katanya.

Bagi segmen penggerudian, ia berkata 10 daripada 11 pelantar beroperasi dengan enam beroperasi di peringkat antarabangsa, segmen itu dijangka mencapai kapasiti penuh menjelang akhir suku kedua tahun kewangan 2024.

Sapura Energy juga berkata tahun kewangan 2024 adalah tempoh yang penting bagi kumpulan itu kerana ia berusaha untuk menangani hutang tidak mampannya, jumlah hutang tertunggak kepada pemiutang perdagangan dan status PN17.

"Kumpulan itu sedang melakar kemajuan ke arah memuktamadkan cadangan skim penstrukturan semula (PRS) dan pelan regularisasi dengan lanjutan masa diberikan untuk pelan penyusunan semula dan perintah sekatan, masing-masing sehingga 30 November 2023 dan 10 Mac 2024.

"Lanjutan masa ini akan membolehkan kumpulan memuktamadkan rancangan PRS dan penyusunan semula yang akan adil dan saksama kepada semua pihak berkepentingan," tambahnya.

-- BERNAMA